1 Jun 2024
Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan telah membuat lawatan ke beberapa premis-premis perniagaan di sekitar kawasan Pusat Sunway, Bandar Seri Begawan pada hari Khamis, 23hb Mei 2024.
Hasil daripada lawatan tersebut, pegawai-pegawai pemeriksa TAP telah memeriksa sebanyak 35 buah premis majikan yang berdaftar dan didapati seramai 9 orang pekerja tempatan masih lagi belum didaftarkan dan dicarumkan ke Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).
Lawatan ini adalah bagi memastikan Majikan-Majikan sentiasa menjalankan tanggungjawab di dalam mendaftarkan dan membayar caruman SPK pekerja-pekerja mereka. Setiap pekerja yang memenuhi persyaratan skim adalah dimestikan untuk mempunyai simpanan persaraan untuk dimanfaatkan di hari persaraan mereka nanti.
TAP ingin memaklumkan kepada Majikan bahawa proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja telah dipermudahkan dengan hanya menggunakan perkhidmatan online TAP, e-Amanah. Para Majikan boleh melog masuk ke akaun portal e-Amanah masing-masing melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn dan tidak perlu lagi berurusan di kaunter-kaunter perkhidmatan TAP seperti sebelumnya.
Majikan adalah diingatkan untuk menjalankan tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak iaitu pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat. Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja di dalam tempoh percubaan. Di bawah Bab 35 (1), National Retirement Scheme Order, 2023 jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak lebih dari $3,000.00 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih dari $10,000.00 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Bagi isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal penguatkuasaan seperti tidak didaftar dan tiada pembayaran caruman, pihak pengadu adalah dinasihatkan untuk membuat aduan dan mengongsikan maklumat di talian hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 730 2929 ataupun melalui emel di alamat enforcement@tap.com.bn.
Para pekerja juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja. Bagi ahli yang telah berdaftar ke perkhidmatan online TAP, e-Amanah, aduan juga boleh dibuat dengan melog masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.