14 Mei 2025
Dalam usaha berterusan untuk mendokong keusahawanan tempatan dan individu bekerja sendiri dalam meningkatkan daya berdikari kewangan, Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah memperkenalkan satu inisiatif baharu iaitu TAPCart, yang memberi peluang kepada individu bekerja sendiri dan perniagaan mikro untuk berniaga di cawangan TAP yang terpilih.
TAPCart merupakan ruang niaga mudah alih yang boleh disewa dengan kadar mampu milik, bertujuan untuk menyediakan ruang komersial yang mudah diakses dan berisiko rendah kepada para usahawan kecil yang berdaftar di bawah Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) Bekerja Sendiri.
Objektif utama inisiatif ini adalah:
- Menyediakan penyewaan ruang perniagaan dengan harga kos yang berpatutan dan risiko yang rendah kepada golongan bekerja sendiri yang berdaftar di bawah SPK; dan
- Menggalakkan individu yang bekerja sendiri dalam bidang keusahawanan, berdikari justeru menjadi lebih produktif, sejajar dengan usaha TAP untuk meningkatkan keahlian SPK Bekerja Sendiri.
Melalui inisiatif TAPCart, usahawan tempatan berpeluang untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam persekitaran yang teratur dan profesional, secara langsung mendedahkan perniagaan mereka kepada orang ramai terutamanya Ahli TAP yang berkunjung di cawangan TAP.
Inisiatif ini mencerminkan peranan aktif TAP bukan sahaja dalam menyediakan perancangan persaraan, tetapi juga memberikan galakan dan sokongan kepada usahawan tempatan dan golongan yang bekerja sendiri untuk memperkukuhkan kemandirian dan pembangunan komuniti.